1. Menyemak Jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk
belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut
kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba
hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama
peperiksaan.
Apakah kunci kepada peperiksaan?
Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi
mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika
menjawab soalan.
3. Tentukan keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga
perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang
dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai
saja, sebaliknya merangkumi semua.
4.Banyak mengingat dan membuat kaitan
Mengingat adalah satu perkara
penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara
boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai
sesuatu kemahiran.
5. Merancang persiapan
peperiksaan
Ada tiga perkara yang mesti
diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
a. Pertama, sebelum peperiksaan
khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta
semangat dengan belajar secara berterusan.
Selain di sekolah dan rumah, anda
seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana
saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan
membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.
Dalam pada itu, kesihatan diri
jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah
keterlaluan hingga lupa makan dan minum.
Ini kerana keadaan itu boleh
menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur hendaklah mencukupi supaya
anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada
ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah.
Kesihatan tubuh
badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.
Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara
lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji
pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding
peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang
keemasan itu.
Begitu juga dengan pengambilan
makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda
seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan
mencergaskan minda anda.
Setelah segala persiapan diri sudah
dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan,
antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel,
jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan
lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada
malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat
menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.
b. Kedua, pada hari peperiksaan.
Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun
pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja
tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.
Ingat, perbuatan tergesa-gesa
menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat
menumpukan terhadap peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman
dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan
jayanya.
Ketika berada dalam dewan
peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu
sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah
nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan
oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
Apabila menjawab soalan, sekali lagi
anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah
soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk
menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah.
Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat
kemudian.
Jika menjawab soalan objektif,
ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting.
Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada
kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang
tanda hitam pensel
Walaupun sudah yakin jawapan yang
diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas
jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan
semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk
tujuan semakan terakhir.
Pembahagian masa yang betul amat
perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan.
Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan
merugikan anda.
c. Ketiga, selepas peperiksaan.
Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang
dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan
kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.
Jika ini berlaku, anda mungkin
hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan
berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh
untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.
6. Elakkan terbabit dengan
situasi yang boleh mengganggu perasaan
Menjelang peperiksaan, pelbagai
dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi
apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima
waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan
terhadap peperiksaan.
7. Berdoa dan bertawakal
Sering kali kita was-was ataupun
tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak
seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi
sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana
usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri,
malah mencapai kejayaan.
Itulah di antara tip-tip yang boleh
digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan
tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan
berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.